🌴 Eqin, Ratu Santan Malayan 🌴
Bermula dari tahun 2010, Eqin mewarisi legasi perniagaan keluarga yang diasaskan sejak 1986. Dari berdagang di pasar tani atas lori, beliau kini membuktikan kemampuan membuka kilang santan sendiri dan menjadi peneraju santan asli berkualiti tinggi.
Dengan menyediakan santan pati yang tulen, Eqin mendapat kepercayaan pengguna hingga menerima tawaran besar dari FELDA Wellness pada tahun 2014-2017 untuk membekalkan 1 tan santan setiap hari. Pada tahun 2018, usaha gigih beliau membuahkan hasil dengan memperoleh lesen pengimport kelapa, menjadikan Empire Zas semakin mantap dan dipercayai.
Tidak berhenti di situ, Empire Zas menjadi nama besar dalam industri dengan kolaborasi bersama PRODUKKAMPUNGKU4U dan pelbagai pengiktirafan, termasuk Anugerah Usahawan Paling Komited serta penghargaan sebagai Penjaja dan Peniaga Kecil Cemerlang 2023, disampaikan sendiri oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri.
Kini, pada tahun 2024, Empire Zas sekali lagi diiktiraf apabila kilangnya ditampilkan dalam Buletin TV9 dalam program PKS Kini.
ZAS EMPIRE adalah bukti kejayaan dan komitmen untuk membawa santan asli kepada semua.
Kisah perjalanan perniagaan saya bermula pada tahun 2010, selepas majlis perkahwinan. Ayah memberi hadiah yang tidak ternilai—sebuah tapak perniagaan santan. Pada waktu itu, saya baru sahaja menamatkan diploma dalam bidang kulinari pada tahun 2006 dan bekerja sebagai kakitangan hotel dari 2007 hingga 2009.
Pada awalnya, saya tidak memiliki minat untuk berniaga santan; rasanya perniagaan ini tiada hala tuju yang jelas. Namun, setelah memikirkan tentang kerjaya saya di hotel yang membuatkan saya dan suami jarang bertemu, saya mula terbuka kepada idea ini. Suami saya, yang bukan seorang peniaga, bersetuju untuk berganding bahu dan kami memutuskan untuk mengambil langkah ini bersama.
Dengan modal permulaan sebanyak RM 500, kami memulakan perniagaan di pasar tani, menjual santan, tiga kali seminggu—Jumaat, Sabtu, dan Ahad. Pendapatan kami pada mulanya hanya sekitar RM 50 hingga RM 100 sehari. Namun, kami tidak pernah mengalah. Dengan tekad dan usaha yang berterusan, kami terus berjuang, mengatasi pelbagai cabaran hingga ke hari ini.
Kini, kami bukan sahaja berniaga di pasar tani dengan tapak kekal di Pasar Awam Dengkil, tetapi telah mengembangkan perniagaan kami menjadi sebuah kilang. Setiap langkah perjalanan ini adalah bukti bahawa dengan semangat dan ketekunan, impian dapat direalisasikan.
Pada tahun 2019, dunia dikejutkan dengan pandemik COVID-19, dan kerajaan menggalakkan semua usahawan untuk mengdigitalisasi perniagaan mereka. Inilah saatnya saya mengambil langkah berani untuk belajar dan meneroka cara-cara untuk menjadikan produk saya lebih dikenali. Dari situ, lahirlah logo "Azza", yang kemudiannya saya ubah dan perkemaskan menjadi "ZAS Empire".
Nama ini bukan sekadar simbol; ia adalah penghormatan kepada janji ayah saya, yang selalu berusaha untuk memastikan semua enam anaknya berjaya. Dengan penuh rasa bangga, saya daftarkan setiap nama—pangkal bermula ZAS bermaksud Zubir Agus Salim sempena nama PENCENTUS IDEA PERNIAGAAN SANTAN, Zasmin (Abang sulung), Zastura (kakak ke-2), Azzasyiqin (Saya anak ke-3), Zas Alam Kerinchi (Anak no 4), Zastiqa (Anak no-5), dan Zas Ery (Anak no-6) kesemuanya saya rangkumkan di bawah satu payung: JENAMA ZAS Empire.
Setiap langkah ini adalah untuk menggapai impian yang telah diletakkan oleh ayah, dan kini, saya bertekad untuk meneruskan legasi ini dengan sepenuh hati.
ZAS EMPIRE telah didaftarkan di MYIPO pada tahun 2021 dan Register pada tahun 2022
Pada tahun 2019, semasa pandemik, saya ingin belajar membina jenama dan memasarkan bisnes. Saya ternampak iklan Najib Assadok yang menawarkan bantuan kepada usahawan, dan saya teruja sehingga sanggup melaburkan RM30,000 dan berhutang dengan bank. Ini adalah kesalahan besar bagi saya kerana saya tidak berfikir panjang. Sebenarnya, terdapat banyak kelas- kelas PERCUMA dari agensi kerajaan yang boleh membantu usahawan untuk berjaya. Jangan ulangi kesilapan yang sama!
Pesan kepada usahawan lain: Fikirkan dengan teliti sebelum membuat sebarang pelaburan. Pastikan anda melakukan kajian yang mendalam dan mempertimbangkan semua pilihan yang ada. Terdapat banyak sumber percuma dan sokongan yang boleh membantu anda tanpa perlu berhutang. Ambil masa untuk merancang dan membuat keputusan yang bijak demi kejayaan bisnes anda.Â
Saya adalah jenis orang yang tidak pernah mengenal erti penat atau mengalah. Saya akan terus mencuba untuk belajar, sama ada secara offline atau online.Â
Belajar sampai berbuahkan hasil!!
Pada tahun 2021, saya daftar menjadi usahwan bimbingan PERTANIAN SEPANG,dan pegawai terus daftar saya kursus pertama program mentor-mentoring.
Saya belajar selama 6 bulan dalam program mentor-mentoring, di mana para mentor mengajar saya mengenai 7 tangga bisnes. Melalui bimbingan ini, saya dapat memahami langkah-langkah penting dalam membangunkan perniagaan, dari merancang strategi hingga melaksanakan pemasaran yang berkesan. Setiap tangga memberi saya pengetahuan dan kemahiran baru yang sangat berharga, membolehkan saya untuk memperkukuh asas perniagaan saya dan mencapai matlamat yang lebih tinggi.Â